Thursday, August 14, 2008

CAJ PTPTN 1 PERATUS



PUTRAJAYA 13 Ogos – Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan kadar caj Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada satu peratus berkuat kuasa 1 Jun lalu – satu langkah yang menggembirakan lebih 1.04 juta peminjam PTPTN yang kini akan membuat bayaran balik yang lebih rendah. Sebelum ini, caj perkhidmatan pinjaman PTPTN adalah tiga peratus bagi pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda manakala peminjam pembiayaan peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran dikenakan caj sebanyak lima peratus.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah PTPTN tersebut dijangka mampu meningkatkan semula jumlah kutipan pinjaman perbadanan itu berbanding sebelum ini.

Menurut beliau, keputusan menurunkan kadar caj perkhidmatan itu dipersetujui oleh Jemaah Menteri minggu lalu dan Majlis Fatwa Kebangsaan juga mengesahkan ia tidak bertentangan dengan syariah. “Kadar baru caj satu peratus itu adalah berdasarkan kadar rata ke atas semua pinjaman peringkat pengajian melibatkan semua bakal peminjam yang akan diproses melalui sistem baru bermula Disember ini. “Ia juga meliputi peminjam sedia ada dan peminjam yang telah tamat belajar tetapi belum menyelesaikan bayaran pinjaman mereka,” kata Mohamed Khaled pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini.Angka terkini peminjam PTPTN peringkat diploma dan ijazah sarjana muda adalah sebanyak 1.04 juta manakala 2,473 lagi merupakan peminjam ijazah sarjana dan kedoktoran dengan nilai pinjaman keseluruhan mencecah RM23 bilion.
Sejak beberapa tahun lalu, persatuan-persatuan pelajar telah meminta kerajaan mengkaji semula kadar caj perkhidmatan pinjaman PTPTN yang dianggap membebankan selain dikaitkan dengan unsur riba. Bagaimanapun, pada 28 Julai lalu, Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan memutuskan caj perkhidmatan itu tidak menyalahi syarak tetapi mahu kadar caj tiga peratus sedia ada diturunkan bagi meringankan beban pelajar.
Sebelum ini, caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN ialah empat peratus pada 1997 sebelum ia diturunkan kepada tiga peratus berasaskan baki yang berkurangan.
Para pelajar diberikan tempoh antara lima hingga 20 tahun bagi membayar semula pinjaman bergantung pada jumlah pinjaman yang diperoleh.
Bagaimanapun, sebanyak 49 peratus daripada mereka masih gagal membayar balik pinjaman yang berjumlah hampir RM708 juta.
Menurut Mohamed Khaled, permohonan pelajar baru yang memohon pinjaman sebelum sistem baru itu dilaksanakan akan diluluskan mengikut kaedah sedia ada dengan pelarasan dilakukan sebaik sahaja sistem baru siap dibangunkan menjelang hujung tahun ini.
Beliau berkata, bagi peminjam sedia ada dan mereka yang telah tamat pengajian, kaedah pengiraan bayaran pinjaman ialah jumlah terhutang selepas 1 Jun akan didarabkan dengan satu peratus atas baki tempoh bayaran balik.
Sejajar dengan keputusan tersebut, katanya, dokumen surat tawaran perjanjian baru akan diedarkan kepada para peminjam sedia ada dan mereka yang telah tamat pengajian pada tahun lepas.“Mereka diberikan tempoh selama sebulan dari tarikh surat tawaran untuk melengkapkan dokumen perjanjian baru dan memulangkan semula kepada PTPTN sebelum kadar baru dilaksanakan.“Kalau mereka tidak menandatangani surat perjanjian baru itu, mereka akan terus dikenakan caj perkhidmatan mengikut kadar sedia ada,” katanya.
Mohamed Khaled memberitahu, peminjam yang tidak pernah membuat pembayaran balik pula akan dikenakan denda sebanyak satu peratus berdasarkan jumlah hutang tertunggak sebelum pelarasan dibuat bermula Jun lalu melibatkan kadar caj baru sebanyak satu peratus.
“Ekoran keputusan menurunkan kadar caj kepada satu peratus, kerajaan juga sedang mengkaji kemungkinan untuk menumpukan pembiayaan pendidikan di peringkat sarjana, doktor falsafah dan profesional dalam bidang-bidang strategik sahaja,'' katanya.


SUMBER: UTUSAN ONLINE

No comments: