Saturday, June 28, 2008

harga minyak naik lagi!!!

Harga minyak dunia hampiri AS$142 setong

LONDON 27 Jun - Harga minyak mentah dunia melonjak kepada paras tertinggi baru, menghampiri AS$142 (RM462.92) setong hari ini.
Catatan rekod itu sehari selepas Presiden Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) berkata bahawa harga minyak bakal mencecah AS$170 (RM554.20) setong pada tahun ini berikutan kelemahan dolar dan ketidakstabilan politik.
Minyak mentah Brent North Sea mencecah rekod tertinggi pada paras AS$141.98 (RM462.85) dan minyak mentah berkualiti tinggi Light Sweet mencatatkan AS$141.71 (RM461.97) setong dalam dagangan elektronik pada bursa New York Merchantile Exchange.
Harga minyak buat pertama kalinya mencecah AS$140 (RM456.40) Khamis lalu apabila Presiden OPEC, Chakib Khelil meramalkan kenaikan harga komoditi itu dalam wawancara saluran berita televisyen Perancis.
Setelah merekodkan paras tertinggi, penghantaran Ogos untuk minyak Brent North Sea berada pada paras AS$141.48 (RM461.22) setong, naik AS$1.64 (RM5.34) daripada penutup semalam.
Kontrak hadapan utama minyak berkualiti tinggi bagi penghantaran Ogos pula berada pada paras AS$141.37 (RM460.86) setong, naik AS$1.33 (RM4.33).
Kos minyak naik berganda dalam masa setahun, dengan pengguna menyalahkan kekurangan bekalan daripada OPEC.
Bagaimanapun, OPEC yang mengeluarkan 40 peratus bekalan minyak dunia, menyalahkan spekulasi pelabur yang mengakibatkan kenaikan harga komoditi itu, serta kejatuhan nilai dolar dan tekanan terhadap negara pengeluar minyak seperti Iran, Iraq dan Nigeria.
Kelemahan mata wang AS menjadikan minyak, yang diniagakan dalam dolar AS, murah dengan aliran tunai ke dalam pasaran komoditi bagi mengekang inflasi yang mengakibatkan permintaan terhadap komoditi itu terus meningkat.
Selain itu, kenaikan melampau harga minyak mentah dunia itu juga berikutan tindakan Libya yang akan mengkaji pilihan untuk mengurangkan pengeluaran minyaknya sebagai reaksi kepada potensi serangan oleh AS terhadap negara-negara OPEC.
- AFP

**sumber : utusan online

No comments: