Tuesday, November 3, 2009

Wawasan Pendidikan Al- Hikmah: Pembinaan Generasi Ulul Albab

Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat Ilahi, dengan izinNya, saya berserta beberapa sahabat lain sempat meluangkan masa untuk menghadiri Seminar Pengajian Tinggi anjuran Kolej Dar-Al-Hikmah yang bermaudukkan Pmbinaan Generasi Ulul Albab. Berikut sedikit intipati yang dapat saya coretkan buat tatapan sahabat-sahabat sekalian, semoga dengan catatan ini dapat memberi sedikit input yang baik buat semua. Enjoy reading k..

Slot pertama di isi oleh Prof Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar yang merupakan seorang ilmuan yang saya hormati dan segani. Dengan gaya penyampaian yang bersahaja menarik minat saya untuk terus setia mendengar, KE ARAH MELAHIRKAN GENERASI ULUL ALBAB dikupas dengan terperinci.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan generasi Ulul Albab dan ciri-ciri generasi tersebut?

Di dalam Al- Quran ada bermacam golongan manusia yang mendapat pengiktirafan, pujian dan sanjungan Allah s.w.t kerana keistimewaan masing-masing. Al- Muttaqin, Al- Mu’minin, Al- Muhsinin, Al- Sadiqin, Al- Ulama’ dan sebagainya, namun, dari segi pencapaian ilmu dan hikmah, golongan Ulul Albab merupakan golongan yang sangat istimewa. Menurut definisi Ulul Albab yang terdapat dalam AL-Quran, dalam surah Ali ‘Imran ayat 7 dan 190 misalnya:

Dialah yang menurunkan kepadamu(wahai Muhammad) kitab suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu ialah ayat-ayat Muhkamat. Ayat-ayat jenis itu ialah ibu isi al-Quran dan yang lain lagi pula ialah ayat-ayat mutashabihat. Adapun orang yang dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat mutashabihat untuk mencetuskan fitnah dan untuk mencari- cari ta’wilnya. Padahal tidak ada yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allah dan orang yang tetap teguh serta mendalam ilmunya berkata, “ Kami beriman kepadanya(ayat-ayat mutashabihat) Semuanya itu datangnya daripada sisi Tuhan kami,”Tidak ada yang mengambil pelajaran atau peringatan melainkan Ulul Albab (3:7)

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda(ayat) bagi Ulul Albab(3:190)

Siapa sebenarnya Ulul Albab ini? Jawapan yang tersedia di dalam Al-Quran:

Mereka yang menyebut dan mengingati Allah( yadhkurun Allah) semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan (yatafakkarun) tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “ Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan kesemua ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau! Maka peliharalah kami daripada api neraka.

Ali Imran ayat 191

Ciri-ciri Ulul Albab

1) Ilmuan yang sejati (tetap teguh dan mendalam ilmunya)

2) Beriman kepada Al-Quran dengan sebenar-benar iman : seluruh Al-Quran datangnya dari Allah(3:7)

3) suka berdoa kepada ALLAH dengan doa seorang ‘abd yang sejati: doa yang menggabungkan kebimbangan dan harapan; bimbang dan takut iman terpesong setelah mendapat hidayah dan penuh harapan ALLAH akan melimpahkan rahmatNYA (3:8)

4) Yakin dengan Hari Akhirat (3:9)

5) Dhikir ALLAH (zikir mengingati ALLAH) yang sempurna: sentiasa dan istiqamah(konsisten) (3:191)

6) Memiliki konsep fikir yang sebenar

7) Yakin dengan rencana Ilahi

8) Yakin dengan kebnaran rasul-rasul (3:193-194)

9) Berjaya menggabngkan iman, ilmu dan amal dalam kesatuan

10) Berjaya mengharmonikan antara wahyu dan akal

Kelebihan Ulul Albab sebagai golongan Ilmuan:

1) Ulul Albab memiliki daya kognitif dan alat mengetahui yang serba unggul:

2) Hati kalbu yang celik lagi tajam pandangannya

3) Intelek yang salim(sihat)

4) Daya imaginasi dan daya intuitif(fakulti ilham) yang kuat

5) Daya kefahaman yang kuat

~Alam kosmos dalam wawasan Ulul Albab ialah kosmos bermatlamat, bersebab,membawa kepada dua kemungkinan iaitu KEIMANAN dan KESESATAN dan boleh membantu mendalami keenam-enam rukun iman.

~ Antara falsafah ilmu dalam konsep Ulul Albab ialah:

1) Kesatuan ilmu wahyu dan ilmu akliah

2) Ada ilmu huduri dan ilmu husuli

3) Ilmu yang sejati ialah ilmu yang membawa pemiliknya kepada pengakuan tentang hakikat ALLAH

4) Melahirkan insan yang menggabungkan zikir dan fikir

5) Mempertajamkan semua alat kognitif yang dianugerahkan kepada manusia oleh Allah

6) Untuk mewujudkan kesatuan ilmu dalam pemikiran setiap individu, iaitu menerusi prinsip tauhid

7) Untuk menanamkan keyakinan terhadap kesemua rukun iman

8) Untuk menghayati ruh kelima-lima rukun Islam sebagai asas penghayatan keseluruhan ajaran Islam.

~ Akhirnya, idea dan konsep Ulul Albab perlu di jelaskan, peranan institusi pendidikan Islam perlu memainkan peranan, Kurikulum pendidikan hendaklah menghayati falsafah pendidikan yang terkandung dalam konsep Ulul Albab dan semoga generasi Ulul Albab akan lahir dan merubah transisi keilmuan, insyaALLAH

B.E.R.S.A.M.B.U.N.G

No comments: