Saturday, June 28, 2008

RM1 JUTA dana bantu mangsa binatang buas

Oleh ZAMZURINA AHMAD
PENDANG 27 Jun - Mangsa atau ahli keluarga mereka yang terbabit serangan binatang buas dan berbisa boleh memohon bantuan kewangan daripada dana yang diperuntukkan untuk kes seumpamanya, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon.
Jelas beliau, kerajaan memperuntukkan RM1 juta sejak 2003 bagi meringankan beban mangsa atau keluarga serangan binatang buas atau reptilia berbisa.
Menurut beliau, peruntukan itu diletakkan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
''Kebanyakan masyarakat belum mengetahui mengenai dana yang diperuntukkan bagi membantu individu diserang reptilia berbisa atau binatang buas sejak ia diwujudkan.
''Saya berharap penubuhan dana ini dapat dihebahkan kepada masyarakat dengan apa jua saluran agar ia dimanfaatkan oleh mereka yang berhak menerimanya," ujar beliau.
Beliau memberitahu, sejak dana itu dilancarkan, hanya 14 kes yang dirujuk ke JKM bagi mendapatkan bantuan yang keseluruhannya berjumlah RM140,200.
''Pemberian skim bantuan yang dikelaskan mengikut kategori dari RM200 hingga RM20,000 itu diberikan sebagai usaha untuk meringankan beban mangsa dan keluarga yang mungkin kehilangan punca pendapatan akibat kematian atau kecederaan yang dihidapi,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan skim bantuan tersebut pada Majlis Berkat Berjasa di pejabat JKM Pendang, di sini hari ini.
Katanya lagi, mereka yang ingin memohon dana itu mestilah warganegara Malaysia, orang awam dan bukan anggota keselamatan atau pegawai kerajaan yang sedang menjalankan tugas serta bukan pemburu.
Pada majlis itu, Noriah menyampaikan bantuan RM20,000 kepada Lee Eing Kooi, 57, isteri mangsa patukan seekor ular tedung yang meninggal dunia Februari lalu

##sumber: utusan

1 comment:

none said...

artikel ni saya ambil dari utusan online yang mana saya rasakan ada relevannya jika saya membuat perbandingan antara ganjaran 1juta kepada atlet sukan olimpik dengan 1juta dana bantu mangsa binatang buas.Mana yang lebih dan patut diberi keutamaan???jawapannya tentulah dana 1 juta bantu mangsa binatang buas.justeru, marilah wahai aktivis dan masyarakat sekalian,buka minda,buka hati,timbulkan pertanyaan dan sama2kita cari penyelesaian agar keamanan dan kesenangan dapat kita kecapi..